Thursday, 26 April 2012

Malam Simfoni Kesenian Islam


“Berhibur tiada salahnya, kerana hiburan itu indah."


Nasyid, pentomen, drama, marhaban, sajak, syair dan sebagainya merupakan alternatif hiburan Islam yang digemari oleh setiap lapisan masyarakat Islam. Walau bagaimanapun, setiap hiburan perlulah mengikut garis panduan yang dibenarkan di dalam Islam agar tidak terpesong atau melalaikan.

Sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Malam Simfoni Keseniaan Islam, warga ILIM telah menyaksikan persembahan teater hebat oleh 30 orang peserta Diploma Pengurusan Islam (DPI) siri ke-2  yang dipersembahkan di pentas Dewan Datuk Mohd Shahir ILIM pada 8 Mac 2012. Persembahan teater tersebut mengisahkan kisah hidup Rasulullah SAW bersama puak Arab jahiliah yang menentang baginda serta keperitan yang diharungi baginda di dalam menyebarkan syiar Islam agar luas melata di bumi Allah.

Majlis diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan iaitu YBhg. Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan mewakili Ketua Pengarah Jakim. Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, JAWI, YBhg. Dato’ Che Mat bin Che Ali serta Pengarah ILIM, Hajah Pauzaiyah binti Haron dan Timbalan Pengarah, Hajah Zainab bin Ab Rahman. Turut menyerikan dewan ialah kehadiran warga ILIM bersama ahli keluarga masing-masing serta pelajar-pelajar dari sekolah yang berhampiran.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Tuan Haji Razali bin Shahabudin dengan 3 kali pukulan gong. Di dalam ucapan, beliau mengucapkan syabas kepada kesungguhan para peserta DPI mengendalikan majlis tersebut. Beliau mengalu-alukan pertunjukan kesenian yang megetengahkan konsep Islam agar umat Islam mendapat panduan bentuk-bentuk  hiburan yang dibenarkan di dalam Islam. Beliau turut menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim yang dijemput pada malam tersebut.

Majlis pada malam tersebut juga telah diserikan dengan persembahan nasyid yang dianggotai oleh pelajar Darul Quran, Jakim yang mendendangkan 4 lagu nasyid yang harmoni. Sebelum berakhir, majlis diserikan pula dengan acara  cabutan nombor bertuah yang menceriakan suasana dewan.

Majlis ini ternyata berjaya mencapai objektifnya di dalam memantapkan kefahaman umat Islam tentang  perjuangan Rasulullah SAW. Selain itu, melalui majlis ini juga,  penganjur ingin menonjolkan bentuk kesenian yang diharuskan di dalam Islam agar menjadi panduan kepada masyarakat di samping mampu mewujudkan ukhuwah silaturrahim di antara warga ILIM dengan para tetamu yang hadir pada malam tesebut.

Sebelum itu, telah berlangsung sesi ceramah Maulidul Rasul yang disampaikan oleh YBhg. Dr. Zulkifli bin Mohamad Al Bakri yang menyentuh tentang dakwah Rasulullah SAW di Dewan Datuk Mohd Shahir sebelum acara perasmian bermula.






No comments:

Post a Comment