Thursday 26 April 2012

Karnival Sukan DPI


Ketua Pengarah Jakim, YBhg. Dato’ Othman bin Mustapha hadir ke Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi merasmikan Karnival Sukan Diploma Pengurusan Islam (DPI) siri ke-2 pada 31 Mac 2012 (Sabtu). YBhg. Dato’ Othman bin Mustapha hadir diiringi Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunnan Insan) Jakim, Tuan Haji Razali bin Shahabudin telah disambut oleh Pengarah ILIM, Hajah Pauzaiyah binti Haron, Timbalan Pengarah, Puan Zainab binti Ab Rahman, kakitangan ILIM serta para peserta Diploma Pengurusan Islam (DPI).



Dalam ucapan perasmian, Ketua Pengarah Jakim mengucapkan tahniah di atas penganjuran Karnival Sukan yang dirancang sepenuhnya oleh para peserta Diploma Pengurusan Islam. Kebolehan dan keupayaan para peserta DPI menganjurkan program karnival sukan untuk warga Jakim dianggap sebagai satu kejayaan yang besar kerana mampu membahagikan masa di dalam kesibukan mengisi jadual penuh kursus Diploma Pengurusan Islam yang berlangsung selama 6 bulan.

YBhg. Dato’ menambah bahawa setiap Pegawai Hal Ehwal Islam perlu ada ketahanan fizikal dan emosi untuk mendukung sikap ‘orang agama’. Setiap tugas yang diamanahkan perlu direkod untuk rujukan dan maklumat yang dapat membantu organisasi. YBhg. Dato’ juga telah mengumumkan, beliau mendapat maklumbalas bahawa peserta Diploma Pengurusan Islam siri pertama dilaporkan cemerlang dari sudut kerjaya dan sahsiah diri. Justeru, beliau meletakkan harapan tinggi bahawa peserta DPI siri ke-2 dapat mengekalkan status sebagai yang terbaik keluaran Jakim.

Acara karnival dimulakan dengan perasmian acara pertandingan tarik tali di antara pasukan kakitangan ILIM melawan peserta DPI yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Othman bin Mustapha. Seterusnya perasmian acara sukaneka untuk anak-anak kakitangan ILIM dan Jakim serta acara padang seperti pertandingan bola sepak dan bola tampar.

Selain itu, turut memeriahkan acara karnival sukan ini ialah acara memanah dan berkuda yang disertai oleh Ketua Pegarah Jakim dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim. Para pemenang, telah menerima hadiah yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jakim.

Pada sebelah petang, acara disambung dengan pertandingan ping-pong, bola jaring dan sepak takraw. Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang acara yang bertanding telah disempurnakan oleh Pengarah ILIM, Hajah Pauzaiyah binti Haron diiringi Ketua Penolong Pengarah, Pusat Pengurusan Undang-undang Islam ILIM, Ustaz Amran bin Awaluddin.


No comments:

Post a Comment